Ekonomi/Bisnis

Rabu, 12 April 2023

Kemasukan Islam ke Patani, Thailand.

Oleh Nik Abdul Rakib Bin Nik Hassan


Seperti kita tahu Patani dijoloki sebagai Serambi Makkah dan juga Patani disebut sebagai Patani Darussalam. Kali ini kita membicara tentang kemasukan agama islam di Patani. Disini saya ambil sebahagian dari tulisan Sdr Zawawi Pakda Ameen, pensyarah Pengajian Melayu, Prince of Songkla University, Kampus Pattani, Thailand berkenaan dengan kemasukan agama Islam di Patani. Tulisan beliau saya ambil dari Tesis Sarjana beliau denga Tajuk “Identiti Melayu Patani : Kajian Tetang Peranan Institutsi Pondok Di Wilayah Pattani”di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Sdr Zawawi pakda Ameen Bersama Dr. Suryadi dari Universiti Leiden, Belanda di Makam Sultan Ismail Syah atau Sultan Muhammad Syah, Sultan Patani pertama yang memeluki agama Islam.


Tulisan Sdr Zawawi Pakda Ameen adalah seperti berikut :-


Penyebaran agama Islam di Patani berlaku di kalangan rakyat terlebih dahulu dan kemudian menyebar di peringkat pemerintah.   Menurut   Phra’ya  Rattana’  Phakdi, raja dan pembesar Patani memeluk agama Islam kira-kira pada awal abad ke-15 iaitu di sekitar tahun 1457, sedangkan rakyat jelata sudah ada yang beragama Islam sejak 300 tahun sebelumnya. B.J.O. Schrieke (1916) dalam buku Het Boek Van Bonang menyebut bahawa raja tidak percaya kepada agama Islam tetapi pedagang-pedagang terdiri daripada orang Islam.


Dalam sejarah Kelantan pula menceritakan bahawa pada tahun 1150 terdapat seorang Syeikh Arab dari Patani datang menyebarkan agama Islam di negeri Kelantan (A. Bangnara 1976: 14-15). Oleh itu boleh dikatakan bahawa terdapat beberapa penduduk di zaman Langkasuka beragama Islam. Agama Islam dianuti oleh penduduk Patani sebelum didirikan Sukhothai. Sukhothai didirikan pada sekitar tahun 1237 (Jitmoud, S. 1988 : 62-68).


Di Semenanjung Melayu, Patani dan Pahang adalah negeri paling awal menerima agama Islam. Bukti ini ditegaskan oleh de Eredia, seorang pengembara Portugis pada tahun 1613,


“Moreover the faith of Maumeth (Islam) was accepted in Patane (Patani) and Pam (Pahang) on the eastern coast of Ujontana, and in certain islands of the Aromatic Archipelago. Later it was accepted and encouraged by Permicuri Parameswara at Malacca in year 1411.” (Mills, J.V. 1930 : 49)

Agama Islam di Patani tersebar dengan pesatnya apabila raja memeluk Islam. Dalam Hikayat Patani mengisahkan bahawa raja Patani yang bernama Phya Tu Nakpa menghidap penyakit kulit. Dukun Istana mengubatinya, tetapi tidak sembuh. Dalam situasi tersebut terdapat seorang dari Pasai bernama Syeikh Said sanggup mengubatinya dengan syarat apabila sembuh nanti, raja mesti memeluk agama Islam.

Makam Sheikh Said Al Basisa atau Tok Pasai yang mengIslamkan Phya Tu Intira dan digelarkan Sultan Ismail Syah atau Sultan Muhammad Syah


Penyakit itu sembuh dan berulang lagi kerana raja tidak menepati janji. Pada kali yang ketiga Syeikh Said datang mengubatinya pula dan baginda tidak mungkir janji lagi. Baginda pun memeluk agama Islam dan menukar nama kepada Sultan Ismail Syah Zillullah Fil-Alam (Teeuw & Wyatt 1970 : 75). Dalam buku “Sejarah Kerajaan Melayu Patani” oleh Ibrahim Syukri (2002) pula menceritakan bahawa raja Patani pertama yang memeluk agama Islam adalah putra raja Phaya Tu Nakpa yang bernama Phya Tu Intira dan digelar Sultan Muhammad Syah.


Agama Islam bertapak teguh di Patani dan berperanan sebagai pusat penyebaran Islam di Nusantara. Nama penuh Patani adalah “Patani Darussalam” dan dianggap sebagai serambi Mekah kerana merupakan pusat menimba ilmu daripada para ulama yang giat mengarang kitab dan mengajar agama di institutsi pondok dan masjid. Pada waktu itu juga institusi pondok berkembang dengan pesat dan berperanan sebagai institusi utama yang membina benteng untuk mempertahankan identiti Melayu Patani.


Rujukan:

Bangnara, A. ( 1976 ). Patani : Adit – Patchuban. (Patani Dahulu - Sekarang). Bangkok : Chomrom  Saengthian.


Ibrahim Syukri (2002). Sejarah Kerajaan Melayu Patani. Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia.


Jitmoud, Sawvanee (1988). Ethnic Group: Thai Muslim. Bangkok: Korngthun Snga Rujiraamporn.


Mills, J.V. (1930). “Eredia’s Description of Malacca”. JAMBRAS Vol.8 (Part 1) halaman 48.


Schrieke, B.J.O. (1916). Het Boek Van Bonang. Utrecht : P.D. Boer.


Teeuw, A & Wyatt (1970). Hikayat Patani. The Hague : Martinus Nijhoff.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan