Ekonomi/Bisnis

Isnin, 5 Jun 2017

MAJALAH AZAN Pelopor Media Modern Patani

โดย นิอับดุลรากิ๊บ บินนิฮัสซัน
ได้รับลิงค์จากคุณอาหมัด ลาตีฟ (Ahmad Latif) ผู้เขียนบทความเรื่อง MAJALAH AZAN Pelopor Media Modern Patani ด้วยคุณอาหมัด ลาตีฟ ถือเป็นนักหนังสือพิมพ์อาวุโสชาวสามจังหวัดชายแดนภาคใต้ ที่คนในประเทศไทย อาจรวมทั้งคนรุ่นใหม่ในสามจังหวัดชายแดนภาคใต้รู้จักน้อยมาก คุณอาหมัด ลาตีฟ จะเป็นที่รู้จักในประเทศมาเลเซีย และอินโดเนเซียมากกว่า บทความ งานเขียนในนิตยสาร Tempo นิตยสารการเมืองระดับต้นๆของประเทศอินโดเนเซีย สำหรับบทความเรื่อง MAJALAH AZAN Pelopor Media Modern Patani เป็นบทความที่เขียนถึงนิตยสารที่ชื่อว่า Majalah Azan เป็นนิตยสารภาษามลายู อักขระยาวี ที่เคยเผยแพร่ในสามจังหวัดชายแดนภาคใต้ บทความนี้เผยแพร่ครั้งแรกในเว็บ โรงเรียนนักข่าวชายแดนใต้ (Deep South Journalism School) ของศูนย์เฝ้าระวังสถานการณ์ภาคใต้ (Deep South Watch) 
"Majalah Azan" Pelopor Media Modern Patani
Penulis : Sdr. Ahmad Latif 

Dalam jarak waktu empat puluh tahun ini, bumi Patani menyaksikan beragam penerbitan dalam bahasa Melayu. Buku-buku agama, terutamanya. Namun terlalu sedikit penerbitan dalam bentuk majalah atau surat khabar. Kelangkaan ini juga menyebabkan maklumat yang beredar di kalangan masyarakat Melayu Patani lebih banyak bersifat bisik-bisik burung atau kabar angin, yang beredar dari sebuah kedai kopi ke kedai kopi lainnya. Tidak dapat dilacak asal muasal sumber ‘khabar’.

Apa yang saya masih ingat adalah media massa bernama Utusan Selatan, yang dicetak dalam dua bahasa, Thai dan Melayu. Surat khabar yang terbit sekitar setengah abad lalu ini lebih bersifat hebahan kerajaan tentang pembangunan negara. Jadi beritanya tidak menyentuh peristiwa-peristiwa yang bersinggungan langsung dengan kehidupan masyarakat. Hebahan seperti ini, sekarang lebih dikenali dengan advertorial (pengiklanan) yang cenderung kepada propaganda. Bukan pemberitaan dalam arti yang sesungguhnya.

Di tengah kebekuan itu muncul majalah Azan sekitar awal 1970-an. Saya yang ketika itu mengajar bahasa Melayu di Pondok Balor, Tok Ketitir ikut membidani lahirnya majalah berkala ini. Adapun yang mengajak saya untuk bergabung dan sama-sama menerbitkan majalah Azan adalah Saudara Ismail Luthfi (yang kini Rektor Universiti Islam Yala) dan Saudara Ahmad Aman (Pauh Manis), pengarang buku tatabahasa Melayu,Anak Kunci Bahasa.

Nama-nama sidang pengarang di antaranya Ustaz Ubaidillah Mahmud (Pondok Pombing), Wan Azizi Abdul Samad (Bukit Kulim) Abdul Rahman Tahir (Dual), Bahrin Hasan (Banggul). Setelah Ismail Luthfi dan Ustaz Ubaidillah berangkat menyambung pengajian di Madinah, majalah Azanditerajui Saudara Zakaria Ansori (Pak Ya Padang Ru). Nama-nama lain yang saya masih ingat samar-samar termasuk Ustaz Adam Yusuf (Bendang Pedul), Ustaz Ahmad Abdul Kadir Lidong (Sekolah Haji Harun).

Baik ketika dipimpin Ismail Luthfi maupun di bawah teraju Zakaria Ansori, majalah Azan lebih merupakan medan perjuangan ketimbang tempat mencari makan. Jerih payah itu ditunjangi semangat untuk memasyarakatkan bahasa Melayu, di samping niat menjalankan kewajiban dakwah. Tidak ada pejabat tetap. Kami guna alamat surat menyurat sidang pengarang di percetakan Saudara Press. Betapa susahnya kerja-kerja untuk menyiapkan sesebuah tulisan yang siap dikirim ke percetakan. Ketika itu belum ada di kalangan kami yang punya mesin taip Jawi. Komputer apa lagi.

Tempat perjumpaan dewan redaksi berpindah-pindah. Kami bekerja secara berpasukan. Baik tulisan para sidang pengarang maupun karya sumbangan penulis luar dibaca dan disunting bersama. Sebahagian tulisan terpaksa ditulis ulang sepenuhnya, dengan tulisan tangan. Bahkan kami juga terpaksa terlibat dalam penyemakan (proof) akhir di percetakan. Para pekerja tidak ada yang dibayar gaji. Saya tidak ingat apakahAzan pernah membayar honorarium kepada penulis luar. Yang jelas, sidang pengarang tidak mendapat imbuhan apapun untuk  tulisan mereka.

Coba bayangkan, betapa sulitnya untuk memasarkan – sekalipun hanya -- 2,000 naskhah majalah di tengah-tengah masyarakat yang lebih mementingkan makanan untuk menyubat perut daripada membeli ‘makanan’ untuk mengisi minda. Masih rendahnya minat membaca masyarakat. Ketika itu alangkah sulitnya untuk mencari peniaga yang mahu memasang iklan. Maklum, masih sangat sedikit peniaga besar Melayu. Padahal seperti diketahui, nadi sesebuah media massa – cetak atau elektronik -- sangat bergantung kepada tingkat pemasukan melalui ‘pintu’ iklan.

Nasib baik ketika Azan dipimpin Pak Ya Padang Ru, kami boleh keluar masuk sekolah-sekolah untuk memasarkan majalah agak lebih selesa. Sebab Pak Ya ada kereta (baru warna merah), dan anak tok guru Padang Ru ini jugalah yang banyak mengeluarkan wang dari sakunya sendiri untuk menjamu kami makan pada hari-hari mesyuarat dan memasarkan majalah. Kami datangi sekolah-sekolah untuk menyampaikan ceramah tentang betapa pentingnya mempelajari bahasa Melayu, sekalipun terkadang mendapat sambutan dingin.

Saya, mungkin juga ada di kalangan teman-teman lain yang terpaksa minta duit daripada orangtua untuk makan dan tambang pada hari-hari menyuarat sidang pengarang. Untuk urusan pengedaran, saya termasuk orang yang paling kerap membawa majalah naik turun bas untuk dihantar ke kedai-kedai buku dan sekolah-sekolah. Suatu fakta yang tidak dapat dinafikan bahwa di sekolah-sekolah kita (pada ketika itu) kadar pembacaan murid terhadap bahan bacaan di luar buku teks masih sangat rendah. Bukan hanya murid, bahkan di kalangan guru juga sangat sedikit yang melanggan majalah-majalah dalam bahasa Melayu tulisan Jawi dari Malaysia seperti Kiblat, Dian, Pengasuh dan sebagainya.

Seperti banyak ditulis para peneliti tentang perkembangan persuratan Melayu di Patani, selain sebagai pelopor persuratan Melayu Patani modern, Azan juga merupakan satu-satunya media yang paling awal memperkenalkan suatu bentuk penulisan dengan menggunakan bahasa Melayu baku (standard) di Patani.  Untuk menggalakkan masyarakat terutama para pelajar dalam bidang penulisan, Azan juga pernah mengadakan sayembara penulisan puisi. Penyampaian hadiah kepada para pemenang sayembara berlangsung di Pondok Pombing, yang diadakan serentak dengan Forum Persuratan Melayu. Saya termasuk salah seorang yang membentangkan kertas kerja dalam forum tersebut.

Sekarang ketika orang Melayu dan syarikat bumiputera sudah banyak yang bergelar jutawan, justeru penerbitan media massa di Patani masih belum nampak ada kemajuan berarti. Pernah beberapa kali muncul majalah bulanan berbahasa Melayu, juga tidak bertahan lama. Saya sendiri bersama teman-teman pernah ikut menerbitkan majalah berkala Risalah Masjid lebih 20 tahun silam. Majalah yang terbit di bawah naungan Majlis Agama Islam Menara itu,  juga tidak bertahan lama.

Hampir pada masa bersamaan dengan Azan, sekitar awal 1970-an, di Patani lahir majalah Aman yang dikeluarkan Saudara Hussein Yusuf (Binjai Lima). Majalah dengan bahasa Melayu yang sangat bercalaru ini juga berusia pendek. Dalam hal ini, Majlis Agama Islam Pattani boleh berbangga karena majalah terbitannya, Fajar, dapat bertahan cukup lama.

Setiap pendekar bahasa sudah pasti mengharapkan bahasa yang diperjuangkannya tumbuh subur sebagaimana bahasa yang sudah maju. Demikian juga dengan para pejuang bahasa Melayu di Patani. Hal itu tampak ketika ada pihak yang mengambil inisiatif menganjurkan Seminar Memartabatkan Bahasa Melayu di Asean, yang berlangsung di Pattani 13 – 14 Oktober 2012 lalu. Kabarnya, jumlah pesertanya cukup banyak. Adapun pertanyaan yang masih menggantung, apakah setelah seminar berakhir, kedudukan bahasa Melayu di Patani terangkat martabatnya?

Mendengar adanya televisyen (dan radio) dengan siaran bahasa Melayu 24 jam di sempadan selatan, saya sangat berbesar hati dan berharap melalui media elektronik ini, kedudukan bahasa Melayu di Patani akan semakin baik. Tentunya dengan syarat, para pendukungnya di segenap jajaran terdiri dari orang-orang yang punya komitmen yang tinggi untuk memartabatkan bahasa Melayu. Sekalipun bahasa Melayu dialek tempatan tidak dapat dikesampingkan, tetapi hendaknya kelak bahasa Melayu baku (standard) harus diberikan prioriti utama. Sebab kita tidak mahu melihat bahasa Melayu Patani terus berjalan di tempat selamanya.

Saya ikut terharu setelah mengetahui ada teman-teman di sini melalui projek Sekolah Kewartawanan Sempadan Selatan atau DSJ (Deep South Journalisme School) yang sedang bekerja keras untuk melahirkan wartawan di kalangan anak muda, yang diharapkan kelak mampu menulis dalam empat bahasa. Suatu projek untuk mengantisipasi datangnya era baru dunia tanpa sempadan, yang sudah di ambang pintu.

Kabarnya para trainee DSJ juga pernah berkunjung ke beberapa media massa di Aceh Darussalam. Suatu langkah positif dalam upaya mendedahkan kepada para calon wartawan tentang liku-liku kehidupan para penyandang profesi kewartawanan. Tetapi semua pendedahan itu tidak banyak membantu sekiranya di persekitaran kita sendiri tidak ada media massa – surat khabar, majalah dan sebagainya – yang dapat menyalurkan aspirasi atau karya tulis kita.

Di Patani, seperti kita ketahui, masih sangat sedikit bahan bacaan dalam bahasa Melayu. Minat membaca masyarakat, khususnya dalam bahasa Melayu, masih sangat rendah. Apabila kurang pembacaan maka dengan sendirinya penguasaan kosakata dalam bahasa Melayu juga sangat minim. Bagaimana dapat menghasilkan sebuah karya tulis yang baik sekiranya kita miskin perbendaharaan kata dalam bahasa yang ditulis itu. Saya sendiri yang sudah cukup lama bermalang melintang dalam dunia jurnalistik dengan medium bahasa Melayu dan Indonesia, sampai sekarang masih terasa tingkat penguasaan terhadap dua bahasa itu masih tertinggal jauh. Kosakata boleh dikatakan tumbuh setiap hari. Bayangkan, kalau setahun saja tidak mengikuti perkembangan sesuatu bahasa, berapa jauh bahasa tersebut telah meninggalkan kita. Bagaimana pula kalau bahasa tersebut telah meninggalkan kita selama setengah abad?

Menyimak akhbar siri pelatihan DSJ, Sinaran edisi pertama (Muharram, 1434), saya menaruh harapan besar suatu hari kelak akhbar ini akan tumbuh menjadi sebuah media cetak bahasa Melayu di Patani. Penyajian bahannya akan semakin beragam, dan perwajahannya kian menarik. Tentu saja dipersembahkan dengan bahasa yang baik dan segar. Saya tetap optimis bahwa bahasa Melayu tulisan Jawi akan terus eksis di bumi Patani. Tetapi rasanya terlalu sukar untuk berdiri dan berlari sejajar seiring dengan perkembangan bahasa Melayu di negara-negara serumpun seperti Indonesia, Malaysia dan Brunei Darussalam. Kelangsungan hidup bahasa Melayu dengan medium tulisan Jawi mungkin akan dapat bertahan. Tetapi kalau tidak segera diambil langkah-langkah positif untuk memecah kebekuan maka lambat laun bahasa ini akan mati seperti halnya dengan nasib beberapa bahasa daerah di Indonesia.

Saya tidak tahu apakah pernah ada penelitian tentang peratusan (persentage) penggunaan bahasa Melayu di kalangan keluarga Melayu di selatan sempadan. Berapa peratuskah kata-kata daripada bahasa Thai yang meresap masuk dalam (perbendaharaan) bahasa pertuturan sehari-hari masyarakat Melayu Patani? Secara umum, apakah pelajar di sekolah-sekolah agama lebih mudah memahami penerangan dalam bahasa Thai atau bahasa Melayu? Di sinilah tolok ukur untuk mengetahui sejauh mana tahap ketahanan bahasa Melayu pada masa-masa akan datang.

Di wilayah-wilayah sempadan selatan, semakin tinggi seseorang mendapatkan pendidikan formal (Thai) semakin rendah kadar penggunaan bahasa Melayu dalam pergaulan sehari-hari, termasuk dalam linkungan keluarga terdekat. Bahkan sesetengah keluarga Melayu lebih cenderung bercakap dalam bahasa Thai di lingkungan rumah tangganya. Sama halnya dengan kalangan terpelajar di Malaysia dengan bahasa Inggerisnya.

Di negara mana pun sesebuah media massa lebih banyak beredar (dibaca) di kalangan kaum terpelajar di daerah perkotaan (urban). Mereka punya sumber pendapatan tetap. Semakin ke pedesaan akan semakin mengecil jumlah pembacanya. Dalam konteks masyarakat Patani, apakah dengan semakin sedikitnya jumlah pengguna bahasa Melayu di kalangan terpelajar di perkotaan memungkinkan media massa Melayu dapat bertahan hidup?
Pengembaraan Jurnalistik  (didedikasi khusus untuk adik-adik trainee di Sekolah Kewartawanan Sempadan Selatan) Selain karena memperjuangkan idealisme dan mendapatkan kepuasan batin, sulit digambarkan apa sesungguhnya yang diidamkan seseorang sebelum menceburi bidang kewartawanan. Ada yang memilih profesi ini karena terpaksa, setelah tidak ada tempat untuk bekerja – atau belajar -- di bidang lain. Ada yang mengatakan masuk ke dunia jurnalistik karena panggilan bakat. Atau mungkin karena sejak di bangku sekolah lagi hobinya menulis melulu, setidaknya rajin menulis surat cinta.

Saya terpanggil untuk menekuni bidang kewartawanan karena dorongan idealisme. Bercita-cita mahu menerbitkan surat khabar atau sekurangnya sebuah majalah berita mingguan (semacam Newsweek atau Asiaweek) di Patani. Tentunya, idealisme yang tidak berpijak di bumi nyata. Kenapa? Sebuah surat khabar atau majalah berita tidak hanya memerlukan sejumlah personil yang terampil dan modal yang besar, tetapi juga berhajat kepada adanya pembaca yang memadai.

Berangkat dari pengalaman menerbitkan majalah Azan dengan sirkulasi hanya 2,000 naskhah yang terpaksa menjaja dari sekolah ke sekolah, kalau dipaksakan juga meneruskan idealisme tersebut sama halnya dengan membunuh diri. Justeu itu saya memilih untuk menjadi guru, sekalipun hanya sempat mengajar beberapa tahun saja. Sebagaimana para trainee di Sekolah Kewartawanan Sempadan Selatan, saya mengawali karier jurnalistik dengan mengikuti kursus kewartawanan yang diselenggarakan harian Masa Kini, Yogyakarta, Indonesia pertengahan1977. Program kursus berlangsung selama tiga bulan, hanya pada hari minggu. Selesai kursus tiga bulan, para peserta langsung diterjunkan ke lapangan selama tiga bulan lagi. Harus mencari bahan sendiri sembari belajar menulis berita. Tulisan yang memenuhi syarat layak siar akan dimuat dalam harian Masa Kini.

Sejak awal lagi para peserta kursus sudah ditanamkan rasa bertanggung jawab terhadap apa yang ditulis. Harus mematuhi kode etika kewartawanan Islam dan jujur terhadap diri sendiri. Menulis berita tidak boleh mengandalkan khayalan (berbohong), tetapi harus berpijak pada realiti. Sebagai wartawan muslim tidak cukup dengan berbekalkan teori baku 5W1H, tetapi harus ditambah dengan 3I (Islam, Iman, dan Ihsan) + 1S (Security). Sesuatu bahan berita sekalipun sudah memenuhi syarat 5W1H, kalau kesan pemberitaannya bercanggah dengan prinsip 3I dan boleh mendatangkan perpecahan ummat (1S), maka berita tersebut hanya layak dimuat dalam tong sampah.

Sebagai surat khabar berbasis Islam yang didirikan tokoh-tokoh Masyumi (Majelis Syura Muslimin Indonesia) dan Muhammadiyah, Masa Kinisangat berani dalam menyuarakan aspirasi ummat Islam. Dalam tempo pendidikan selama 3 bulan itu, para peserta yang mendaftar 51 orang pada akhirnya tinggal 5 orang. Di antara berlima itu, hanya dua orang yang pada akhir pengkaderan diangkat menjadi anggota dewan redaksi. Termasuk saya yang dipercayakan membidangi pendidikan dan kebudayaan, terakhir menjaga desk dalam negeri (1977 – 1981).

Bertolak dari pengkaderan yang keras dan disiplin yang ketat itu membuat saya tidak terlalu sulit untuk menyesuaikan diri dengan rentak dan cara kerja ketika bergabung dengan majalah berita mingguan Tempo, Jakarta (1990 – 1994) dan majalah berita mingguan Gatra, Jakarta (1994 – 2003) sebagai koresponden di Malaysia. Demikian juga ketika dipercayakan untuk menjadi editor di majalah berita Peristiwa yang diterbitkan Syarikat Dian, di Kota Bharu, Kelantan awal 1990-an.

Mentor saya, wartawan senior dan kolumnis, R Soendoro (alm), selalu berpesan kepada wartawan muda agar selulu membaca, membaca dan membaca. Jangan bercita-cita mahu menjadi wartawan yang baik sekiranya kalian punya tabiat malas membaca. Bacalah apa saja bahan untuk memperkayakan minda. Dan harus selalu ingat, setiap patah kata yang ditulis dan dipublikasikan untuk tatapan umum kelak akan diminta pertanggungjawaban di Yaumul Mahsyar.

Seorang wartawan Islam tidak boleh ada sifat-sifat yang disebutkan sebagai tanda-tanda orang munafik. Seperti tidak boleh berbohong, tidak boleh mungkir janji dan mesti amanah. Berita mesti berdasarkan fakta, bukan tulisan yang direka-reka. Jangan sampai lupa jam dan tanggal, kalau ada temujanji. Wajib amanah, sekiranya seseorang narasumber minta dirahasiakan nama dan identitinya. Itu hanya beberapa contoh. Adapun kepuasan batin seseorang wartawan antara lain pada saat pertama kali menatap berita atau artikel yang ditulisnya disiarkan dalam media. Itu kalau tulisan yang dimuat media tersebut sesuai dengan apa yang dimaksudkan si wartawan. Tidak jarang menimbulkan amarah sekiranya hasil suntingan editor tidak lebih baik daripada tulisan asal. Saya sering mengalami hal-hal seperti ini ketika menjadi kontributor untuk beberapa media massa di Malaysia.

Ketika mengajar bahasa Melayu di pondok Bandar sekitar awal 1980-an, saya sempat mengadakan kursus kewartawanan – dengan istilah penulisan – khusus untuk murid-murid kelas 8, 9 dan 10. Kursus ini berlangsung tidak lama karena jiwa saya lebih terpanggil untuk menggeluti dunia kewartawanan ketimbang menyandang profesi sebagai guru.
Demikian secebis kisah pengembaraan jusnalistik saya, yang didedikasi khusus untuk adik-adik trainee di Sekolah Jurnalistik Sempadan Selatan. Semoga bermanfaat.

กิจกรรมล่าสุดของคุณอาหมัด ลาตีฟ คือการเดินทางค้นคว้าหาร่องรอยอาณาจักรศรีวิชัย ที่เมืองไชยา จังหวัดสุราษฎร์ธานี

Tiada ulasan:

Catat Ulasan