Ekonomi/Bisnis

Jumaat, 25 Jun 2010

Fadzil Mohd Noor Pemimpin PAS yang sangat rapat dengan Melayu Patani.


 Oleh Nik Abdul Rakib Bin Nik Hassan
        Secara pribadi saya tak kenal Dato' Haji Fadzil bin Mohd Noor. Hanya satu kali bertemu semasa Almarhum menyeberang dari Rantau Panjang, Pasir Mas, Kelantan ke Pekan Sungai Golok, Narathiwas, Thailand. Mungkin Almarhum ada urusan dengan pihak tertentu di Kawasan Narathiwas. Kemudian saya terbaca bahawa Almarhum juga adalah dari keturunan Melayu Patani juga. Jadi, saya kemukakan maklumat riwayat hidup Almarhum dengan diambil maklumat dari Wikipedia.

Dato' Haji Fadzil bin Mohd Noor (Tulisan Jawi: حاج فاضل بن محمد نور) (lahir: 13 Mac 1937, meninggal: 23 Jun 2002) merupakan bekas Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Beliau dilahirkan di Alor Setar, Kedah. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Derga, Alor Setar dan Maktab Mahmud pada tahun 1951 sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Al Azhar, Mesir tajaan biasiswa kerajaan Kedah pada 1963 hingga 1967.

Sekembalinya dari Mesir beliau mengajar di Maktab Mahmud dan kemudian sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Ustaz Fadzil Noor pernah menjadi Setiausaha Persatuan Ulama Malaysia (1974-1976), Setiausaha Penerangan ABIM (1973-1974) dan Timbalan Presiden ABIM (1974-1978).

Politik
Beliau mula bertanding dalam Pilihanraya Umum 1978 menentang Datuk Senu Abdul Rahman tetapi kalah. Pada tahun 1981, beliau dipilih sebagai Naib Presiden PAS dan kemudian Timbalan Presiden pada 1982. Pada 30 Mac 1989 beliau dipilih sebagai Presiden PAS selepas pengunduran Tuan Guru Haji Yusof Rawa.

Beliau merupakan ADUN Bukit Raya untuk lima penggal berturut-turut walaupun cuba bertanding bagi kerusi Parlimen beliau tewas, sehinggalah pada Piliharaya Umum 1999, beliau berjaya mengalahkan Datuk Othman Abdul untuk menduduki kerusi Parlimen Pendang dan mengekalkan kerusi ADUN Anak Bukit (sebelum itu Bukit Raya).

Pada tahun yang sama, beliau dilantik sebagai Ketua Pembangkang menggantikan Lim Kit Siang yang kalah dalam pilihanraya umum itu.

Pada 1998, beliau dilantik sebagai Pengerusi GERAK (Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia). Gerak ditubuhkan oleh PAS, DAP dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan disertai oleh 15 pertubuhan bukan kerajaan dan individu untuk menegakkan keadilan selepas pemecatan dan penahanan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Meninggal dunia
Beliau menerima rawatan selepas melakukan pembedahan pintasan jantung pada 10 Jun 2002. Sebelum itu beliau dimasukkan ke Hospital Kuala Terengganu kerana mengadu sakit dada.Beliau meninggal dunia pada 23 Jun 2002 di Unit Rawatan Rapi, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia akibat sakit jantung pada jam 10.30 pagi.

Kata-kata
"... kalau boleh saya tak nak berhenti bercakap sebab saya berucap dengan orang yang saya kasihi dan saya sayang!" -- Diucap oleh Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor ketika majlis penutupan Muktamar PAS ke-48, muktamar yang terakhir sebelum beliau menghembuskan nafasnya terakhir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan