Isnin, 16 Februari 2015

อันวาร์ อิบราฮิม กับไทม์ไลน์คดีการเมือง

28 Jun 2008 : Bekas pembantu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Saiful Bukhari Azlan, membuat laporan polis mendakwa Anwar meliwatnya di sebuah kondominium di Damansara.

30 Jun 2008 : Anwar memfailkan saman fitnah terhadap Saiful yang membuat laporan polis ke atasnya bagi tuduhan liwat, dengan mendakwa laporan itu palsu dan berniat jahat.

7 Ogos 2008 : Anwar, penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan, 23, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
Beliau dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Hakim S M Komathy Suppiah membenarkan Anwar dibebaskan dengan bon peribadi RM20,000 tanpa penjamin.

7 Nov 2008 : Hakim Mahkamah Sesyen S M Komathy Suppiah memutuskan supaya kes liwat Anwar dibicarakan di Mahkamah Sesyen selepas mendapati sijil untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi yang ditandatangani oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, tidak sah.
Dalam menolak permohonan pendakwaan (supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi), Komathy berkata sijil itu bercanggah dengan jangkaan perundangan Anwar bahawa Abdul Gani tidak akan terbabit dalam kes itu.

5 Mac 2009 : Mahkamah Tinggi memutuskan kes liwat itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi dan bukannya di Mahkamah Sesyen.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membuat keputusan itu berikutan permohonan pihak pendakwaan supaya dikaji semula keputusan Mahkamah Sesyen mengekalkan perbicaraan kes itu di Mahkamah Sesyen.
Beliau berkata Hakim Mahkamah Sesyen S M Komathy Suppiah terkhilaf dalam memutuskan bahawa sijil pemindahan kes itu yang ditandatangani oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, tidak sah.

6 Mac 2009 : Anwar memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi supaya kes liwatnya didengar di Mahkamah Tinggi.

10 Mac 2009 : Mahkamah Tinggi menetapkan 1 hingga 24 Julai sebagai tarikh perbicaraan kes liwat itu.
17 Jun 2009 : Anwar memfailkan permohonan untuk mengetepikan pertuduhan liwat beliau di Mahkamah Tinggi.

6 Nov 2009 : Mahkamah Rayuan menolak permohonan Anwar untuk mendapatkan dokumen penting dan sampel DNA yang didakwanya amat penting untuk pembelaannya dalam perbicaraan bagi pertuduhan liwat yang dihadapinya.
Antara dokumen penting itu ialah kenyataan yang direkodkan daripada saksi iaitu Saiful, Dr Osman Abdul Hamid dari Hospital Pusrawi, pemilik kondominium Hassanuddin Abdul Hamid, kenyataan tiga doktor Hospital Kuala Lumpur, nota ahli kimia dan laporan perubatan.

1 Dis 2009 : Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa ia tidak boleh membatalkan pertuduhan meliwat terhadap Anwar hanya berdasarkan laporan perubatan yang menyatakan ketiadaan penetrasi.
Semasa menolak permohonan Anwar untuk mengetepikan pertuduhan liwatnya, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah berkata laporan perubatan tidak boleh dijadikan asas untuk mahkamah menggunakan kuasa untuk membatalkan pertuduhan itu.

3 Feb 2010 : Perbicaraan kes liwat Anwar dimulakan dengan Saiful memberi keterangan sebagai saksi pertama. Perbicaraan itu, di hadapan Hakim Mohamad Zabidin, bermula selepas 18 bulan Anwar dituduh pada Ogos 2008.
Dalam keterangannya, Saiful memberitahu bahawa Anwar yang didakwa meliwatnya, mengajaknya untuk melakukan hubungan seks di luar tabii.
Saiful berkata insiden itu berlaku pada 26 Jun 2008 selepas beliau dan Anwar selesai berbincang mengenai jadual kerja di sebuah unit kondominium Desa Damansara di sini.

5 Feb 2010 : Saiful memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau tidak membuang air besar selama dua hari selepas diliwat oleh Anwar. Beliau juga memberi keterangan bahawa seluar yang dipakainya pada hari insiden itu berlaku adalah hadiah daripada Anwar.

9 Feb 2010 : Perbicaraan kes liwat itu ditangguhkan sekali lagi bagi membolehkan pihak pembelaan memfailkan maklum balas kepada afidavit jawapan terhadap permohonan Anwar supaya hakim menarik diri.
Ia ditangguhkan selepas pembelaan memohon supaya Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah menarik diri daripada mendengar kes itu dengan alasan beliau bertindak berat sebelah.

18 Feb 2010 : Anwar gagal dalam cubaannya untuk meminta Hakim Mohamad Zabidin menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes liwatnya.
Hakim Mohamad Zabidin, semasa menolak permohonan itu, memutuskan bahawa tidak ada sebab beliau perlu menarik diri daripada menghakimi kes itu, dan jika beliau berbuat demikian, ia seperti melarikan diri daripada tanggungjawabnya.

25 Feb 2010 : Anwar gagal dalam cubaannya untuk mendapatkan dokumen-dokumen penting termasuk contoh spesimen DNA Saiful sebelum bermulanya perbicaraan kes liwatnya, selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya.

3 Mac 2010 : Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Anwar, Karpal Singh, Mohd Saiful memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau tidak membasuh duburnya selepas insiden liwat yang didakwa berlaku pada 26 Jun 2008 kerana beliau mahu "simpan bukti".
Saiful, saksi utama terhadap kes liwat ketua pembangkang itu, juga memberitahu bahawa beliau tidak mandi selepas insiden itu sebaliknya hanya menyiram tubuhnya.
Beliau mandi pada pagi sebelum insiden itu berlaku, katanya.
16 Ogos 2010 : Anwar gagal dalam cubaan keduanya untuk menggugurkan pertuduhan liwat terhadap dirinya selepas permohonannya ditolak oleh Mahkamah Tinggi.
Dalam usahanya menggugurkan pertuduhan itu, Anwar mendakwa integriti dan kesaksamaan keseluruhan pasukan pendakwaan adalah dicurigai berikutan dakwaan wujudnya hubungan antara Saiful dengan seorang daripada anggota pendakwaan.

20 Sept 2010 : Mahkamah Rayuan menolak rayuan Anwar untuk membatalkan pertuduhan liwatnya kerana ia tidak ada bidang kuasa untuk mendengar dan menentukan perkara berkenaan.

6 Dis 2010 : Anwar sekali lagi gagal dalam cubaan keduanya meminta Hakim Mohamad Zabidin menarik diri daripada menghakimi perbicaraan kes liwatnya selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonannya.
Anwar memohon penarikan diri hakim itu berikutan keengganannya mengenakan tindakan terhadap Utusan Malaysia kerana menghina mahkamah kerana mengeluarkan laporan yang didakwa pihak pembelaan sebagai prejudis kepada kes itu.

14 Dis 2010 : Bapa Saiful, Azlan Mohd Lazim, merayu kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin supaya membantu mempercepatkan kes membabitkan anak lelakinya itu.

14 Jan 2011 : Mahkamah Rayuan menolak rayuan Ketua Pembangkang itu untuk mengetepikan keengganan Hakim Mohamad Zabidin menarik diri daripada mendengar perbicaraan itu.

16 Mei 2011 : Mahkamah Tinggi memerintahkan Anwar membela diri atas tuduhan meliwat Saiful tiga tahun lalu, selepas pihak pendakwaan membuktikan kes prima facie terhadap Anwar.
Dalam penghakimannya, Hakim Mohamad Zabidin berkata saksi utama, Saiful, adalah seorang saksi yang benar, boleh dipercayai dan diyakini.

6 Jun 2011 : Anwar gagal dalam percubaan ketiganya supaya Hakim Mohamad Zabidin menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes liwatnya. Beliau mengemukakan permohonan itu atas alasan terdapat prapenghakiman dan sikap berat sebelah oleh hakim itu apabila memutuskan bahawa Saiful adalah seorang saksi yang boleh dipercayai pada penggulungan kes pendakwa.

22 Ogos 2011 : Anwar yang memilih untuk memberi keterangan dari kandang tertuduh apabila membacakan kenyataannya yang setebal 32 muka surat, menafikan beliau mengadakan hubungan seks dengan Saiful.
Anwar mempunyai tiga pilihan - memberi keterangan dari kandang saksi yang bermakna beliau boleh disoal balas oleh pihak pendakwaan; memberi keterangan dari kandang tertuduh yang bermakna beliau tidak boleh diperiksa balas oleh pihak pendakwaan tetapi dalam membuat keputusan, mahkamah mengambil kira fakta bahawa pihak pendakwaan belum menyoal balas tertuduh; atau memilih untuk berdiam diri.
Pada perbicaraan kes liwatnya yang pertama pada 1998, Anwar memberi keterangan dari kandang saksi.

6 Okt 2011: Mahkamah Tinggi memutuskan tidak perlu bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor memberi keterangan sebagai saksi pembela dalam perbicaraan kes liwat Anwar.
Mahkamah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Najib dan Rosmah untuk mengetepikan sapina yang mengarahkan mereka menjadi saksi untuk pihak pembela pada perbicaraan kes liwat itu.
Hakim Mohamad Zabidin berkata selepas meneliti afidavit, hujah daripada pihak berkaitan, mahkamah bersetuju dengan peguam yang mewakili Najib dan Rosmah bahawa Anwar gagal menunjukkan kerelevanan dan kepentingan apabila mengemukakan sapina kepada perdana menteri dan isteri.

9 Jan 2012 : Mahkamah Tinggi membebas dan melepaskan Anwar daripada tuduhan meliwat Saiful. Penghakiman 80 muka surat oleh Hakim Mohamad Zabidin menunjukkan adanya kemasukan zakar tetapi ia tidak disokong oleh bukti-bukti lain.
Beliau berkata mahkamah tidak boleh 100 peratus yakin mengenai integriti sampel yang diambil untuk ujian DNA daripada Saiful kerana sampel itu mungkin telah dikompromi sebelum tiba di Jabatan Kimia untuk dianalisis.

9 Julai 2012 : Pihak pendakwaan mengemukakan petisyen rayuan mengandungi sembilan alasan, yang antara lain, supaya Anwar disabitkan atas tuduhan liwat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

12 Sept 2012 : Anwar menarik balik samannya terhadap Mohd Saiful kerana membuat laporan polis terhadapnya kerana meliwat dan mendakwa laporan itu bersifat palsu dan berniat jahat.

22 Feb 2013 : Mahkamah Rayuan menetapkan dua hari dari 22 Julai 2013 untuk mendengar rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Anwar.

18 Sept 2013 : Mahkamah Rayuan menolak permohonan Anwar untuk melucutkan kelayakan peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebagai pendakwa raya bagi mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuannya terhadap keputusan membebaskan Anwar daripada tuduhan liwat.

2 Okt 2013 : Mahkamah Rayuan menetapkan dua hari mulai 11 Disember untuk mendengar rayuan pihak pendakwa terhadap pembebasan Anwar.

21 Nov 2013 : Anwar gagal dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan untuk melucutkan kelayakan Muhammad Shafee Abdullah daripada bertindak sebagai pendakwa raya untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes rayuannya.
Anwar mengemukakan permohonan dengan alasan bahawa Muhammad Shafee tidak boleh bertindak sebagai pendakwa raya dalam kes rayuan itu kerana beliau (Muhammad Shafee) adalah saksi penting pada perbicaraan kes liwat.

11 Dis 2013 : Anwar gagal dalam permohonannya bagi kali kedua untuk melucutkan kelayakan Muhammad Shafee.

20 Dis, 2013 : Anwar gagal dalam permohonannya bagi kali kedua untuk melucutkan kelayakan Muhammad Shafee mengetuai pihak pendakwa raya. Ketika menolak permohonan Anwar, Mahkamah Rayuan memutuskan permohonan itu tidak mempunyai merit.
Kali ini, Anwar menggunakan maklumat daripada akuan berkanun bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim sebagai alasan untuk mengemukakan permohonan.

6 dan 7 Mac 2014 : Mahkamah Rayuan mendengar hujah daripada Muhammad Shafee dan peguam Karpal Singh.

7 Mac 2014 : Anwar dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Rayuan selepas mahkamah mendapatinya bersalah meliwat Mohd Saiful, enam tahun lepas.
Hakim Datuk Balia Yusof Wahi yang mengetuai panel tiga hakim mendengar rayuan pendakwa dalam kes itu, bagaimanapun membenarkan permohonan Anwar bagi penangguhan pelaksanaan hukuman, sementara menunggu keputusan rayuan dengan mengenakan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.
Ketika mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi untuk membebaskan Anwar, Hakim Balia berkata mahkamah dengan sebulat suara memutuskan bahawa hakim perbicaraan telah tersilap dalam penghakimannya bahawa integriti sampel DNA yang digunakan dalam kes itu telah dikompromi.
Karpal Singh, ketika ditemui pemberita kemudian, berkata berikutan keputusan itu, Anwar tidak dapat mengemukakan borang penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN Kajang pada 10 Mac.

24 April, 2014 : Ketua Pembangkang mengemukakan petisyen rayuan terhadap hukuman penjara lima tahun atas kesalahan liwat di Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan dengan mengemukakan 35 alasan mengapa sabit kesalahan dan hukuman ke atasnya harus diketepikan.

14 Ogos 2014 : Mahkamah Persekutuan menetapkan 28 dan 29 Okt untuk mendengar rayuan akhir Anwar. Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai pasukan pembela berikutan kematian peguam Karpal Singh yang terkorban dalam nahas jalan raya pada 17 April.

14 Okt 2014 : Mahkamah Persekutuan memutuskan Muhammad Shafee ialah seorang yang sesuai dan layak untuk mengetuai pasukan pendakwa dalam kes rayuan Anwar pada 28 Okt.
Panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria mencapai keputusan itu dengan sebulat suara, berkata saluran yang sesuai untuk Anwar mencabar pelantikan Muhammad Shafee ialah melalui semakan kehakiman dan bukan melalui notis usul.

28 dan 29 Okt 2014: Mahkamah Persekutuan mula mendengar hujah daripada pihak pembela dan pendakwa.

7 Nov 2014: Selepas lapan hari prosiding, Mahkamah Persekutuan menangguhkan ke satu tarikh lain keputusan rayuan akhir kes liwat Anwar.

26 Jan 2015: Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 Februari keputusan rayuan akhir kes liwat Anwar terhadap Saiful.

10 Feb 2015: Datuk Seri Anwar Ibrahim didapati bersalah selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhir Ketua Pembangkang itu untuk mengenepikan hukuman penjara lima tahun yang dikenakan Mahkamah Rayuan terhadap beliau kerana meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Tiada ulasan: