Selasa, 4 November 2014

Tan Sri Ismail Hussein : Bapa Pengajian Melayu

Oleh : Nik Abdul Rakib Bin Nik Hassan


Tan Sri Ismail Hussein adalah seorang pendidik yang penulis menganggap sebagai Bapa Pengajian Melayu. Kerana Tan Sri Ismail Hussein adalah guru kepada para guru dan pensyarah bidang Pengajian Melayu. 

Anak didik Tan Sri Ismail Hussein bertaburan di Alam Melayu. Penulis agak kagum dengan konsep Melayunya yang luas dan sasarannya untuk mencari Melayu dan menjaringkan Melayu di seluruh dunia. 

Walaupun pertubuhan SMA atau Sekretariat Melayu Antarabangsa yang ditubuhkan oleh Tan Sri Ismail Hussein agaknya gagal dalam menjalankan gerakan untuk menyatukan Melayu tetapi GAPENA yang pernah dipimpinnya boleh dikatakan berjaya untuk mencari Melayu di seluruh dunia.

Pada 20 Oktober 2014 setelah 15 minit Tan Sri Ismail Hussein meninggal dunia. Penulis telah menerima mesej dari penggerak GAPENA, Sdri Norazimah Abu Bakar, mesejnya berbunyi : 


"MINTA HEBAHKAN...“ INNA LILLAHI WA INNA ILAIHI RAJI’UN “ “Sesungguhnya kita ini semuanya adalah milik Allah dan kepadanya nanti kita akan kembali “.


TAN SRI PROFESOR EMERITUS DATO’ PENDITA (DR) HAJI ISMAIL HUSSEIN DILAHIRKAN DI SUNGAI LIMAU DALAM, YAN, KEDAH PADA 30 JANUARI 1932


TELAH MENGHEMBUSKAN NAFASNYA YANG TERAKHIR SEBENTAR TADI PUKUL 9.36 MALAM 20 OKT 2014 DI UNIVERSITI MALAYA HOSPITAL.


JENAZAH AKAN DISEMPURNA DAN DIKEMBUMIKAN ESOK 21 OKT 2014 PADA JAM 10.00 PAGI DI TANAH PERKUBURAN ISLAM KIARA, KUALA LUMPUR.


Dan merujuk kepada Surat Khabar Sinar Harian Online pada 21 Oktober 2014 berbunyi :

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Tan Sri Ismail Hussein meninggal dunia kira-kira jam 9.36 malam ini di Pusat Perubatan Universiti Malaya, dipercayai akibat sakit tua.

Ismail berusia 82 tahun, meninggalkan seorang isteri, Puan Sri Rugayah Abdul Rashid dan empat anak - dua lelaki dan dua perempuan.


Ketua Satu Gapena, Prof Datuk Dr Abdul Latif Abu Bakar berkata, Ismail merupakan seorang tokoh di bidang kesusasteraan Melayu di negara ini.


"Sepanjang mengenali Allahyarham, beliau merupakan seorang yang lemah lembut dan selalu menghulurkan pertolongan kepada orang lain.


"Manakala dari sudut kepimpinan, beliau adalah seorang pemimpin yang berjaya membawa Gapena sehingga terkenal dalam memperjuangkan bidang kesusasteraan dan budaya Melayu di negara ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.


Allahyarham yang juga bekas Ketua Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya dilahirkan pada 30 Januari 1932 di Kampung Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah dan menerajui Gapena bermula 1971 hingga 2013.


Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Seksyen 16, Petaling Jaya, 10 pagi ini dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara kira-kira 11 pagi.


Ini adalah biodata Tan Sri Ismail Hussein yang terdapat dari laman web "MyKedah.Com" sebuah laman web negeri Kedah negeri kelahiran Tan Sri Ismail Hussein


Tan Sri Dato' Profesor Dr. Ismail b. Hussein dilahirkan di Kampung Simpang Empat, Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah pada 30 Januari 1932. Beliau merupakan seorang cendekiawan dan tokoh besar sastera dan budaya Melayu yang tidak jemu-jemu berusaha dan berjuang ke arah mengagungkan sastera dan budaya Melayu malah beliau turut dikenali di peringkat dunia kesusasteraan antarabangsa.


Tan Sri Dato' Profesor Dr. Ismail Hussein menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Sungai Limau Dalam dan selepas perang Dunia Kedua, beliau telah menyambung pelajarannya di Sekolah St. Micheal sebelum berpindah ke Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Star. 


Pada tahun 1955 beliau melangkah kaki ke Universiti Malaya dalam jurusan pengajian Melayu dan dianugerahi Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian Kelas Pertama pada tahun 1959. Beliau merupakan anak Melayu pertama mendapat Sarjana Muda Pengajian Melayu Kelas Pertama dari Universiti Malaya. Pada tahun 1961, beliau memperolehi Sarjana Sastera dan mendapat Ijazah Doctorandus dari Universiti Leiden, Belanda.

Kerjaya :


Pensyarah Universiti Malaya (1960)

Profesor Kesusasteraan Melayu di Universiti Malaya (1971)
Timbalan Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya
Ketua Jabatan Pengajian Melayu Universiti Malaya (1978 - 1984)
Pengarah Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (1987)
Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA)
Timbalan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (1965)
Pengarah Eksekutif Yayasan Sekretariat Melayu Antarabangsa (1996)
Penglibatan Pertubuhan Sosial dan Profesional :

Panel Anugerah Sastera Negara

Ahli Lembaga Majlis Penasihat Kebangsaan berkenaan kebudayaan
Jawatankuasa Penyelarasan Perlaksanaan Bahasa Kebangsaan
Jawatankuasa Penasihat Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia dan Yayasan Karyawan.

Hasil tulisan beliau antaranya ialah Kepimpinan dan Kebudayaan (1984), Cita-cita dan Perjuangan (1987), Segugus Pandangan dan Harapan (1988), Inti Perutusan (1988), Antara Dunia Melayu dengan Dunia Indonesia (1988), Antara politik dan Sastera (1989), Indeks Akhbar (1989), 'Statements on Malay Language and Literature' (1989), Tamadun Melayu (1989), Jejak Langkah Ismail Hussein (1993), Pengajian Melayu di Dunia Melayu (1994), Dunia Melayu dan Dunia Indochina (1995) dan Bahasa Melayu di Dunia Melayu (1995). Beliau terus menjadi tempat rujukan di dalam bidang ilmiah dan berjuang menjadi pendeta, pembela dan penggerak bagi golongan penulis tanah air.

  

Walaupun telah lama bersara daripada tugas akademik, beliau masih bergiat cergas di dalam GAPENA. Kejayaan yang ditempa oleh GAPENA di dalam mendaulatkan bahasa, sastera, budaya dan bangsa Melayu memaparkan kejayaan perjuangan dan impian beliau secara peribadi dan kelompoknya hingga ke peringkat antarabangsa. Semangat cintakan seni, sastera dan budaya Melayu yang wujud di dalam diri beliau sejak kecil lagi menyatakan kedudukan beliau dalam pemikiran dan perasaan manusia Melayu begitu istimewa sebagai Bapa Sastera Melayu.

Tan Sri Dato' Profesor Dr. Ismail Hussein telah dianugerahkan Dato' Setia Diraja Kedah (D.S.D.K.) oleh KDYMM Sultan Kedah pada tahun 1980 yang membawa gelaran Dato'. Pada tahun 1984, beliau menerima Ijazah Kehormat Doktor Honoris Causa dari Universitas Indonesia dan gelaran Pendeta pada Simposium Dunia Melayu di Sri Langka pada tahun 1985. Pada tahun 1993, beliau telah dianugerah Darjah Panglima Setia Mahkota (P.S.M) yang membawa gelaran Tan Sri oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong. Pada tahun 1997, beliau telah dianugerahkan Profesor Emeritus daripada Universiti Malaya. 

Tiada ulasan: